Kes
keganasan rumah tangga sering berlaku dalam kalangan masyarakat di
negara kita. Ada pendapat yang mengatakan bahawa kes seperti ini berlaku
disebabkan oleh tekanan hidup yang dihadapi oleh individu terbabit.
Sejauh manakah anda bersetuju dengan penyataan ini?
Di bawah ini, dipaparkan karangan yang ditulis oleh Mohd Syamil Akhtar bin Rizani (6A1), iaitu pelajar SMK. Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang.
Kes keganasan rumah tangga semakin berleluasa dalam kalangan masyarakat di negara kita. Peningkatan kes berkenaan seperti duri dalam daging
yang boleh mengancam keharmonian institusi kekeluargaan di negara ini.
Sikap majoriti suami dan bapa yang merupakan ketua dalam sesebuah
keluarga yang memukul isteri dan anak-anak serta mendera mereka untuk
melakukan sesuatu pekerjaan yang bukan kemampuan mereka merupakan
fenomena yang amat menyedihkan. Oleh hal yang demikian, semua pihak
dalam masyarakat perlulah berganding bahu untuk menyelesaikan masalah
ini. Jika perkara ini tidak dilakukan pastinya semakin banyak isteri dan
anak yang akan menjadi mangsa keganasan lelaki yang dayus itu.
Tekanan hidup yang dihadapi oleh
segelintir individu dikatakan menjadi punca kes berkenaan berlaku.
Tekanan untuk meneruskan kehidupan yang semakin mencabar individu
seperti menghadapi masalah kewangan menjadi sebab individu terbabit
tidak mampu lagi mengawal diri mereka daripada bertindak ganas. Di
samping itu, seseorang bapa dan suami yang sering diharapkan untuk
memenuhi kehendak isteri dan anak-anak mereka, dianggap sebagai bebanan
oleh suami yang mempunyai masalah kewangan yang serius. Seperti sudah jatuh ditimpa tangga,
suami atau bapa yang menghadapi tekanan tersebut akhirnya hilang
kawalan lalu menyeksa isteri atau anak-anak dari segi mental dan
fizikal. Fenomena sedemikian akan merumitkan keadaan kerana tidak ada
pihak yang beroleh manfaat daripada tindakan sedemikian.
Selain masalah kewangan, bebanan
hutang yang banyak turut mengakibatkan tekanan mental yang serius
terhadap seseorang itu. Seperti harapkan pagar, pagar makan padi,
individu berkenan sanggup pula menjual isteri atau anak-anak kepada
pihak tertentu semata-mata kerana mereka dianggap merupakan senjata
terakhir yang dimiliki oleh mereka untuk melunaskan hutang. Setelah
didera secara kejam oleh individu yang diharapkan bagi melindungi dan
mencurahkan kasih sayang kepada mereka, kemudiannya mereka akan dipaksa
untuk melakukan kerja yang mudah untuk mendapatkan wang seperti menjadi
pelacur. Jika perkara yang sedemikian tidak dibendung, maka individu
yang bergelar bapa dan suami tidak boleh dipercayai lagi bagi melindungi
seseorang yang bergelar isteri atau anak.
Di samping itu, masalah seperti
dibebani dengan tugas yang banyak di tempat kerja turut menyebabkan
seseorang individu merasakan isteri dan anak-anak boleh dijadikan kuda tunggangan.
Kuda tunggangan yang dimaksudkan adalah sebagai tempat mereka
melepaskan geram dan kemarahan mereka dengan cara kekerasan terhadap
keluarga mereka. Jika di tempat kerja, mereka dileteri dan dimarahi oleh
majikan mereka, selain dibebani dengan kerja yang banyak. Oleh itu,
dendam yang terbuku dalam hati terhadap majikan mereka ditujukan pula
kepada isteri dan anak-anak mereka yang sepatutnya dilimpahi dengan
kasih sayang yang secukupnya daripada seorang bapa dan suami. Jika
perkara yang sebegini tidak diatasi, pastinya kebahagiaan yang diimpikan
dalam gerbang perkahwinan hanyalah impian yang sia-sia.
Masalah perkelahian dan
perselisihan pandangan dengan individu-individu tertentu terutamanya
yang amat dihormati dan dikasihi seperti ibu bapa, adik-beradik mahupun
isteri sendiri menjadi punca tekanan perasaan. Hal ini akan mendorong
mereka bertindak secara kekerasan terhadap anak-anak dan isteri kerana
mereka gagal mengawal emosi dan perasaan, iaitu seperti mencurah minyak ke dalam api yang marak.
Seseorang isteri wajar memahami bebanan atau masalah yang sedang
ditanggung oleh suami tanpa menambahkan tekanan kemarahan terhadap
suami. Jika perkara sedemikian dilakukan juga, maka pertengkaran yang
lebih serius akan berlaku antara suami dengan isteri yang mendorong
suami memukul isterinya.
Punca lain yang menyebabkan
masalah ini berlaku ialah kegagalan mencapai sesuatu matlamat yang telah
ditetapkan. Kecenderungan untuk seseorang individu bagi merasai
kekecewaan yang berpanjangan tanpa sokongan individu yang dikasihi
mendorong perasaan kecewa tersebut menjadi perasaan marah yang
seterusnya bertukar menjadi ganas. Harapan menggunung
yang diimpikan daripada keluarga seperti sokongan moral dan semangat
tidak menjadi kenyataan kerana kesibukan masing-masing mendorong
seseorang suami dan bapa bertindak kasar seperti memukul isteri dan
anak-anak mereka. Namun demikian, perkara itu dapat dielakkan sekiranya
masing-masing memahami kehendak hati orang yang tersayang.
Oleh hal yang demikian, tekanan
individu terbabit yang berpunca daripada banyak sebab merupakan faktor
utama berlakunya kes keganasan rumah tangga. Jika perkara ini dapat
dibendung, tidak mustahil kes ini akan berkurangan dan akhirnya tidak
kedengaran lagi. Untuk mencapai matlamat berkenaan, semua pihak dalam
masyarakat perlu berganding bahu dan bersatu padu agar pisang tidak berbuah dua kali.
Oleh itu, sebelum kes ini mengorbankan nyawa manusia, semua pihak
perlulah sedar dan bersama-sama untuk membanterasnya iaitu dengan
memenuhi dada dengan ilmu agama yang sewajarnya sebelum nasi menjadi bubur.
No comments:
Post a Comment