Tuesday 3 April 2012

Syair kemankatan Sultan Sulaiman

Deli tua negerinya itu
Kotanya kukuh berpagar batu,
Rasarnya ramai bukan suatu,
Tiada berbanding di zaman itu.

Baginda berputera tiga orang jua,
Laki-laki konon putera yang tua,
Puteri cantik putera kedua,
Parasnya elok jarang tersua.

Putera yang bongsu laki-laki jua,
Parasnya elok tiadalah dua,
Menarik hati orang semua,
Dikasihi rakyat muda dan tua.

Adapun akan dulu baginda,
Isterinya lama sudah tiada,
Banyak dicari gadis dan janda,
Hati baginda penuju tiada.

Beberapa lama demikian itu,
Di atas takhta konon sang ratu,
Dengan kehendak Tuhan yang satu,
Baginda pun gering suatu waktu.


Baginda nan gering bukan kepalang,
Badannya kurus tinggallah tulang,
Tabib pun selalu datang berulang,
Mengubati baginda raja terbilang.

Tabib berusaha bersungguh hati,
Menolong baginda raja berbakti,
Sudahlah takdir Rabbulizzati,
Penyakit tak dapat lagi diubati.

Pertolongan tabib tiada berfaedah,
Semakin payah sultan yang syahdah,
Ajal baginda hampirlah sudah,
Ke negeri yang baqa akan berpindah.

Dengan hal yang demikian itu,
Penyakit menggoda setiap waktu,
Ubat pun tiada dapat membantu,
Baginda pun mangkat ketika itu.

Baginda berpulang ke rahmatullah,
Takhta kebesaran semua tinggallah,
Harta dunia sudah terjumlah,
Kepada yang lain diberikan Allah.


Sumber: Anwar Ridhwan dan Rahman Shaari
By: Nur Amirah






No comments:

Post a Comment